Wednesday, 28 December 2011

MARA Terengganu Keluar Pinjaman Hampir RM31 Juta Kepada Usahawan

Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu telah mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di Terengganu dari Jan hingga Nov tahun ini.

Pengarah Mara Negeri Abdullah Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE) manakala RM9.892 juta pula kepada 135 peniaga biasa.

"Kita beri pembiayaan bergantung kepada peniagaan yang mereka jalankan, tetapi ia tidak melebihi RM500,000," katanya semasa merasmikan kedai serbanika "My Convenience Shop" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan My Convenience Shop Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Bagi pembayaran balik pinjaman pula, Abdullah berkata Mara berjaya memungut RM15.413 juta sehingga Nov lepas dengan sasaran pungutan bayaran balik sebanyak RM17.8 juta.

"Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik."

"Kita yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ke-tiga kedainya dan cawangan ke-empat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya," katanya.

sumber : teganuku.blogspot.com
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Karnival Sukan Ambang Tahun Baru di Kuala Nerus

Sempena kedatangan tahun baru 2012, Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Nerus menganjurkan Karnival Sukan Ambang Tahun Baru bermula esok di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketuanya, Apli Yusoff berkata, program tiga hari anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Gerakan Belia 4B (M) Kuala Nerus dijangka menarik lebih 3,000 penyertaan dengan penganjuran lebih 10 acara sukan, rekreasi dan pertunjukan.

Katanya, pengisian program termasuklah penyertaan 100 buah kereta pasukan Ekplorace sekitar Kuala Nerus, 100 pasukan futsal, 30 pasukan bola jaring, 100 pasukan sepak takraw, pameran permotoran dan ‘drift’.

“Turut diadakan, kayuhan basikal ambang tahun baru yang melibatkan penyertaan 300 buah basikal dengan kerjasama Kelab Ngayuh Kuala Nerus.

“Kemuncak acara pada malam 31 Disember dengan pertunjukkan bunga api, cabatan bertuah dan penyampaian hadiah oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri,” katanya di sini hari ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

JHEAT serius tangani isu murtad

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) mengambil langkah sewajarnya bagi membendung isu murtad yang dikatakan semakin berleluasa di kalangan umat Islam di negeri ini.

Program bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), aktiviti bersama belia dan remaja, menghebahkan isu berkaitan melalui media dipergiatkan bagi mengelak golongan tertentu terus terjebak gejala itu.

Pesuruhjaya Jheat, Haji Mohd Rozali Salleh, berkata pihak mengakui bimbang dengan apa yang berlaku sekarang kerana terdapat beberapa penganut agama Kristian di negeri ini dikatakan giat menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran untuk menganut agama mereka.

Katanya, berdasarkan beberapa aduan yang diterima, Orang Kurang Upaya yang dikategorikan pekak, pesakit tidak mempunyai waris dan golongan belia bermasalah mudah untuk didekati


“Penganut agama itu.memandangnya sebagai peluang untuk menabur pelbagai janji, menawarkan bantuan kewangan sebelum memujuk secara halus supaya menukar agama lain.

“Di Terengganu belum ada aduan yang rasmi berkaitan itu tetapi saya pasti ia berlaku secara terancang serta terselindung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Bahasa Isyarat kepada Penjawat Awam di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

sumber dari: http://teganukita.blogspot.com
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tuesday, 27 December 2011

MB sertai penduduk kayuh basikal beramai-ramai

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menyertai kira-kira 2,000 penduduk sekitar bandar Kuala Terengganu, mengayuh basikal di sekitar bandar ini, sempena sambutan Tahun Baru pada 31 Disember ini (Sabtu).



Gambar hiasan

Acara berkenaan yang sebahagian besarnya akan disertai golongan remaja dan peminat basikal ‘fixie’ dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Belia Generasi Prihatin Kuala Terengganu.

Antara objektif program itu ialah meningkatkan hubungan antara golongan remaja dengan pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu. Ia akan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan beberapa pemimpin negeri.

Program itu juga bertujuan menarik perhatian anak-anak muda daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah bagi menyambut Tahun Baru seperti berlumba motosikal dan merempit sekitar bandar.

Peserta program itu akan mengayuh basikal sejauh kira-kira 20 kilometer dan melalui beberapa jalan utama menuju Hotel Primula, Pasar Besar Kedai Payang, Pulau Warisan, Jalan Banggol, Jalan Kampung Tiong, Pulau Kambing, Cabang Tiga, Simpang Tok Ku, Jalan Hiliran (depan Mydin Mall), Gong Kapas, Jalan Sultan Pmar dan Bulatan Ladang.

Acara tersebut bermula di Dataran Batu Buruk dan turut berakhir di tempat yang sama di mana pelbagai acara menarik turut diadakan bagi menyerikan sambutan Tahun Baru.

Pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan basikal klasik, pertandingan basikal cantik, persembahan fixie dan cabutan nombor bertuah.

Mereka yang berminat menyertai acara tersebut boleh mendaftar pada jam 8 malam, sebelum program tersebut dimulakan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

JPM Mahu Maidam Tangani Isu Dua Solat Jumaat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan keputusan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku negeri ini.

Menurutnya, dalam Perkara Sembilan Perlembangaan Negara, agama Islam terletak di bawah hak kerajaan negeri dan Tuanku Sultan di mana dalam perkara ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Katanya, jika perkara ini gagal diselesaikan dengan segera, nescaya ia mengundang pandangan negatif masyarakat bukan Islam.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Penerima teruja pilih pakaian sekolah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang hadir di majlis itu turut meluangkan masa memilih kelengkapan sekolah yang diperlukan penerima.



Tiga pasangan kembar seiras Siti Nur Fatihah, Siti Nur Atikah dan Siti Nur Hidayah , 12, gembira kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian sekolah di Pasaraya Giant Bandar Baru Kijal, Kemaman, hari ini.

Mereka bertiga merupakan antara 240 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Kemaman terpilih untuk menerima baucer pakaian sekolah berjumlah RM100 dari Pemuda Umno Bahagian Kemaman.

Siti Nur Hidayah berkata, dia bersama dua beradik kembar dan seorang lagi abangnya cukup terharu di atas pemberian baucer itu kerana dapat meringankan beban ibu yang hanya bekerja sebagai tukang sapu.

“Kami adik beradik anak yatim dan orang susah, jika tiada sumbangan seumpama ini, sudah tentu nanti tidak dapat untuk bergilir pakaian dalam tempoh seminggu.

“Ibu sentiasa mengajar kami erti berjimat cermat dengan hanya membeli barangan penting saja termasuk mengehadkan hanya seorang satu pakaian sekolah dalam tempoh setahun,” katanya ketika di temui dalam program Pengagihan Baucer Pakaian Sekolah di pasar raya itu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang hadir di majlis itu turut meluangkan masa memilih kelengkapan sekolah yang diperlukan penerima.

Seorang ibu tunggal, Norhasiah Mustapa, 35, berkata dia tidak akan melupakan jasa pihak penganjur kerana sudi memilih anaknya, Mohd Shah Izwan Iznur, 10, untuk menerima baucer yang cukup berharga itu.

“Baucer RM100 ini sangat besar ertinya kerana wang yang diperuntukkan membeli pakaian sekolah anak ketiga itu boleh membeli pelbagai barangan lain.

“Saya cukup terharu melihat gelagat anak dan penerima lain kerana diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah yang diinginkan,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berasal dari Felda Nerang 1.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Monday, 26 December 2011

PETMAL, TATiUC Kerjasama Latih Belia Nigeria

Kepakaran Kolej Universiti TATI (TATiUC) semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan untuk melatih belia-belia dari Nigeria dalam pelbagai bidang kejuruteraan.

Kepercayaan itu terjalin melalui kerjasama di antara PETMAL Oil Sdn. Bhd. dengan TATiUC dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, PETMAL diwakili Pengerusinya, Datuk Paduka Long Mohd. Noor Affendi Long Ibrahim manakala TATiUC diwakili Rektornya, Dr. Mohd. Rozailan Mamat@Ibrahim dan UniMAP oleh Naib Canselornya, Brigedier Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Thursday, 22 December 2011

Isu- Solat 2 Imam

Hasil dari penyiasatan baru-baru ini, kejadian solat oleh 2 imam masih lagi berlaku di Negeri Terengganu dan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu telah terpanggil untuk membincangkan isu ini dan akan mengadakan mesyuarat mengenainya. Ini adalah hasil  lanjutan dari pihak Sultan Mizan yang merasa dukacita akan peristiwa solat 2 imam yang masih lagi berlaku di Terengganu.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Mazlan Hashim berkata mesyuarat akan disertai pegawai tinggi kerajaan negeri terengganu termasuk setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang, pegawai kewangan, mufti, ketua polis negeri dan pengelola istana.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), terdapat 11 buah masjid yang telah dikenal pasti masih lagi melakukan perbuatan itu walaupun telah ada usaha untuk menghentikannya.

Datuk Mazlan Hashim juga memberitahu, keputusan mesyuarat akan dipersembahkan kepada Sultan Mizan.

Beliau turut menambah, hasil dari mesyuarat baru akan diketahui apakah tindakan selanjutnya yang perlu diambil terhadap masjid-masjid berkenaan dan beliau turut memberitahu yang masih terlalu awal bagi pihak MAIDAM memanggil pihak berkenaan unutk memberi penjelasan. umb
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Wednesday, 21 December 2011

Bantuan RM100 setiap pelajar diagih minggu depan

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negeri ini oleh Kerajaan Terengganu akan dmula diagihkan minggu depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said (gambar kanan) berkata, sejumlah RM12 juta diperuntukkan dengan melibatkan kira-kira 120,000 yang layak mendapat bantuan tersebut dengan maksimum dua pelajar bagi satu keluarga.

“Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk wang tunai bertujuan membeli pakaian sekolah pelajar,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Tati, Petmal Oil Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Perlis di Wisma Darul Iman hari ini.

Kata Dato’ Seri Ahmad, ibu bapa berpendapatan RM1,500 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

“Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga,” ujarnya.

Teganukita
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Bina 6,757 rumah dalam tempoh tiga tahun



Kerajaan negeri membina 6,757 unit rumah awam kos rendah dan mampu milik dalam tempoh tiga tahun membabitkan kos hampir RM700 juta tanpa melibatkan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) giat melaksanakan projek perumahan bagi memastikan sasaran sebanyak 10,000 unit rumah bagi tempoh lima tahun (2008-2013) di seluruh Terengganu.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga sedang menyusun semula Bandar Kuala Terengganu. Kita tahu nilai tanah di Bandar Kuala Terengganu mahal yang menyebabkan kita terpaksa mengambil balik tanah ini dengan harga yang tinggi.

“Kita mahu memastikan geopolitik masyarakat Melayu dapat dikekalkan dalam bandar. Contohnya, apabila kita mengambil balik 15 ekar tanah di Ladang Tok Pelam yang harga mengambil balik tanah melibatkan RM80 juta. Seterusnya kita akan tempatkan penduduk terlibat dalam satu penempatan yang sama iaitu di Ladang Gemilang (Pangsapuri),” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam PMINT, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar turut memuji langkah pengurusan PMINT yang melakukan transformasi baru dengan hanya memberi tumpuan kepada bidang pelaburan tertentu yang berdaya saing dan mampu menjana keuntungan kepada perbadanan itu.

“Tiada makna kita mempunyai anak syarikat yang banyak tetapi menjejaskan prestasi kita.Walaupun antara perbadanan terawal yang dibangunan di negara kita, banyak perkara PMINT ketinggalan dan dulu banyak bidang yang diceburi sehinggakan perkara yang tiada kepakaran pun mahu niaga menyebabkan kita terpaksa gulung tikar.

“Kita mahu melihat PMINT berdaya saing dan mengorak langkah bagi menentukan hala tuju barunya sebagai agensi terbesar kerajaan yang terlibat dalam pembangunan ekonomi serta fizikal negeri selain mampu menambah lebih ramai kakitangan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut berbangga dengan kejayaan PMINT yang memperolehi penarafan empat bintang daripada Jabatan Audit Negara baru-baru ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pas perlu bertanggungjawab selesai isu dua solat Jumaat satu kariah

Pemimpin Pas perlu bertanggungjawab melarang pengikut parti itu daripada meneruskan kegiatan mendirikan dua solat Jumaat dalam satu kariah kerana perbuatan itu haram di segi hukum syarak, demi menjaga kesucian Islam.


Mereka perlu akur dengan pandangan ulamak bahawa perbuatan tersebut salah di sisi agama dan sebagai pengikut mahzab Shafie umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria dalam kenyataannya semalam menegaskan mengikut mazhab Shafie, umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah dan solat yang sah hanyalah solat didirikan di masjid yang diiktiraf dan diperkenan Sultan selaku Ketua Agama Negeri.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh mengikut kaedah yang digunapakai di negara Arab yang mengikut mazhab Hanafi kerana tiada istilah surau dalam mazhab tersebut, malah bukan semua masjid boleh mendirikan solat Jumaat.

Di Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

Pada majlis perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering, baru-baru ini Sultan Terengganu sebagai ketua agama melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Kegiatan dua solat Jumaat dalam satu kariah berpunca daripada Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Banggol Peradong, hampir 30 tahun lalu.

Bermula dari situ berpuluh-puluh masjid yang tidak diiktiraf dan surau di negeri ini mula menunaikan solat Jumaat walaupun masjid yang diiktiraf kerajaan telah sejak sekian lama diwartakan sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadat tersebut.

Selepas perbuatan tersebut ditegur oleh Sultan Terengganu, amat wajarlah pemimpin Pas mengambil peranan membantu kerajaan membanteras kegiatan itu, demi perpaduan umat Islam.

Dalam hal ini, pemimpin Pas tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana kepentingan politik parti itu semata-mata, tetapi masalah umat Islam sejagat perlu diberi keutamaan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tuesday, 20 December 2011

Terengganu Contoh Program Permata Negara - Rosmah Mansor

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mahu negeri lain mencontohi usaha dan kejayaan Terengganu dalam pelaksanaan Program Permata Negara.



Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara,” katanya“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian khusus kepada program pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau menyatakannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, kelmarin (15 Disember)

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib dan Pengarah YPKT,Mohd Safaruddin Mustaffa.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata,sebagai contoh, di Terengganu terdapat 32 Taska permata yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri, selain 34 Taska Keluarga yang dinaiktaraf sebagai Taska Permata keluarga.

Selain itu juga, 15 Taska Permata Kemas, dua Taska Permata perpaduan, empat Taska Permata Komuniti dan dua Pusat Anak Permata Negara.Ini bermakna, jumlah keseluruhan Taska Permata di Terengganu berjumlah 89 buah,katanya.

Beliau juga berharap program hafazan muqaddam dijadikan permulaan kepada pembelajaran kitab suci al-Quran.

“Seharusnya ia juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan dengan ilmu sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah kalam Allah dan mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah S.W.T,” katanya.

Menteri Besar pula berkata, kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata di seluruh Terengganu yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi tanpa membebankan ibu bapa dengan kadar yuran yang tidak munasabah.

“Untuk itu, kita telah `menelan’ sebahagian besar daripada kos itu dan hari ini ibu bapa hanya perlu membayar RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah yang dihantar ke Taska Permata kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi.

“Sekalung terima kasih kepada Datin Paduka Seri Rosmah sebagai pelopor kepada program Permata Negara dan juga memberikan peruntukan RM20.4 juta bagi membina 32 Taska Permata di seluruh Terengganu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati, penyerahan surat perlantikan ibu angkat Taska kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri serta penyerahan sumbangan kenderaan oleh TOP IT Industries dan Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu kepada YPKT.

Sumber diambil dari: http://teganuku.blogspot.com
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Sunday, 18 December 2011

Sultan Mizan Dukacita Kejadian Solat Dua Jumaat Masih Berlaku


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah tanpa kebenaran masih berlaku di beberapa daerah di negeri itu.

Baginda bertitah kejadian itu berlaku disebabkan tidak wujud persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah yang dihadapi.

"Semua ini menyebabkan agama Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda, umat Islam dihina dan dipermainkan.

"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering di Kuala Terengganu, semalam.

Turut berangkat Yang DiPertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az. Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sultan Mizan menyeru umat Islam di negeri itu supaya bersama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak yang bertelagah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Baginda turut menyeru umat Islam supaya sama-sama mengimarahkan masjid kerana tidak guna mendapat masjid yang cantik dan tersergam indah jika tidak digunakan dengan sebaiknya.
Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13 dan dua anakanda baginda selepas itu bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di situ.

Masjid Sultan Ismail yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Raja di kalangan pendududuk tempatan, mula dibina dengan bangunan baru sejak tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Ia mengekalkan reka bentuk kubah tradisional Terengganu sebagaimana yang terdapat di Masjid Abidin dan Masjid Simpang Tok Ku di daerah ini.
Masjid itu menempatkan ruang solat tertutup yang mampu memuatkan jemaah seramai 1,000 manakala di ruang solat terbuka pula seramai 1,500 orang.

Selepas bertitah dan menandatangani plak perasmian, Sultan Mizan kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama rakyat jelata.

Sesudah solat, baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang berpusu-pusu beratur mengambil kesempatan menatap wajah raja yang disanjung tinggi itu.
Masjid ia mampu memuatkan 2,000 jemaah dalam sesuatu masa.

sumber  dari : http://teganuku.blogspot.com


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Thursday, 15 December 2011

Tugas Cemerlang Pacu Pembangunan Negara

Kerajaan negeri begitu kagum dengan kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan begitu cemerlang dalam memacu pembangunan negara yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan baginda negara mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu memberangsangkan walaupun dalam situasi keruncingan ekonomi global dunia yang tidak menentu di mana terdapat negara seperti Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol menghadapi krisis kewangan begitu teruk yang boleh membawa kepada kebangkrapan negara.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Wednesday, 14 December 2011

YPKT tumpu lapan bidang


Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan (8).

Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan rakyat miskin menyertai program pembangunan diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed