"Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi" - Selamat Hari Guru 2019


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh pendidik di Terengganu dan Malaysia. Jasa dan ilmu kalian berikan amat besar maknanya dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa dan waktu serta sanggup berkorban dari segi tenaga dan wang ringgit demi masa depan anak murid.

Sumbangan dan keringat yang dicurahkan amat ternilai kepada kami dan ia tidak mungkin mampu dibalas sepanjang hayat.

Ketika saya memimpin Terengganu, sektor pendidikan merupakan agenda utama dalam hala tuju kerajaan negeri bagi memastikan rakyat mendapat pelajaran yang berkualiti.

Terbukti bidang pendidikan mampu membantu usaha membasmi kemiskinan, penyusunan semula masyarakat, mengukuhkan perpaduan, mencerna pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

Kecaknaan dan kesungguhan para cikgu dalam mengajar anak murid terserlah selepas Terengganu muncul menjadi negeri paling cemerlang pada setiap peperiksaan dan mengatasi negeri lain sekaligus mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan.

Semoga usaha guru-guru mendapat manfaat dan beroleh pahala yang berterusan. Saya doakan kalian dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT di dunia juga di akhirat kelak.

Terima Kasih Cikgu!

Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi.

No comments:

Post a Comment