BUBAR PARLIMEN SEGERA - Aminuddin Yahaya, Presiden ISMA


Begitulah yang diminta AMINUDDIN YAHAYA kepada Tun. Beliau ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) telah menulis artikel bertajuk Bubarkan Segera Parlimen yang disiarkan oleh Malaysia Kini pada 14 Jun 2019.

Penulis meminta Tun Membubarkan Parlimen kerana beberapa isu penting yang menunjukkan kegagalan kerajaan PH mentadbir negara serta menjejaskan kebajikan rakyat. Antaranya, prestasi purata Menteri PH hanyalah 50% sahaja, yang membawa implikasi ramai menteri yang score kurang daripada 50% atau gagal menjalankan kewajipan.

Pertumbuhan ekonomi belum memberi impak kejayaan ditambah kadar pengangguran yang sudah meningkat tinggi termasuk para graduan membuatkan rakyat mula hilang sabar.

Memungkiri janji dalam pilihanraya dengan alasan manifesto bukan kitab suci.

Isu seterusnya yang dibangkitka bagaimana YB Menteri boleh menandatangani Statute Rome, tanpa mengambil kira peruntukan-peruntukan yang berkaitan dalam Perlembagaan Negara serta beberapa isu lagi yang menyentuh kepentingan rakyat dibangkitkan penulis.

Sila ikuti teks penuh sebagaimana berikut :-

BUBARKAN PARLIMEN SEGERA oleh Aminuddin Yahaya
Kenyataan Tun bahawa mengenai penilaian beliau terhadap prestasi jemaah menteri pada markah 50% adalah satu kenyataan yang serius dan membimbangkan. Angka ini mungkin satu angka purata di mana kemungkinan ada menteri yang mencapai prestasi di bawah 50% atau dengan kata lain gagal. Cuma untuk tidak memalukan kabinet beliau dan menjaga imej kerajaan, maka Tun membuat kenyataan penuh diplomasi dengan mengatakan markah 50% keseluruhannya. 
Bagi sebuah negara seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan penganut agama disertai dengan pelbagai masalah ekonomi yang melanda, maka prestasi sebegini adalah sesuatu yang sukar untuk diterima rakyat. Walaupun sebahagian mengatakan mereka ini semua baharu, kurang berpengalaman dan perlu diberi peluang namun sehingga kini kita masih belum melihat apa-apa tindakan yang positif berkenaan ekonomi terutamanya mahupun perpaduan kaum. Kehidupan rakyat semakin tertekan dengan harga barangan yang tidak pernah turun, kadar pengangguran yang sudah meningkat kepada 521,000 orang termasuk para graduan membuatkan rakyat mula hilang sabar. 
Sejak dari awal-awal lagi Tun sudah mengatakan bahawa manifesto bukan kitab suci dan ini membuatkan rakyat tertanya-tanya, apakah janji-janji manifesto ini semua akan ditunaikan? Kebimbangan rakyat ini jelas terbukti apabila satu persatu janji tersebut dikuburkan dengan mengemukakan pelbagai alasan. Dari alasan kerajaan tidak ada duit kepada masalah hutang sehinggalah alasan tidak cukup kakitangan, semuanya adalah antara alasan yang diberikan untuk tidak tunaikan janji-janji tersebut. 
Idealisme untuk kononnya tidak melantik ahli politik dalam jawatan-jawatan tertentu tidak dilaksanakan termasuklah menjadikan jawatan-jawatan penting seperti ketua pesuruhjaya SPRM dan yang dipertua Yadim untuk bebas dari pengaruh politik tidak lebih dari satu retorik kosong. 
Kenyataan-kenyataan dari para menteri sehingga hari ini langsung tidak meyakinkan rakyat dan saya yakin ini memeningkan kepala Tun. Bermula dengan kasut hitam, kemudian isu tukang masak import, ECRL, silap titik perpuluhan, penurunan 2sen harga telur kepada sistem AES semuanya menampakkan kurang matangnya para menteri. Tak hairanlah kalau para pelabur asing merasa bimbang dan mula mengeluarkan pelaburan mereka dari negara. Stok bursa juga jatuh menjunam. U-uturn demi u-turn yang berlaku seolah-olah para menteri tidak begitu cakna terhadap nasihat dari penasihat-penasihat mereka atau mungkin memang penasihat mereka tidak faham apa yang berlaku. 
Isu-isu besar seperti ICERD dan Rom Statut amat memalukan negara di mata dunia. Bagaimana pejabat peguam negara begitu naif sehingga terlepas pandang perkara dasar yang mana antaranya keperluan kepada kelulusan dari Majlis Raja-Raja kerana ia bukan saja melibatkan agama islam tapi juga imuniti raja dan pindaan perlembagaan. Mungkin beliau berbuat demikian atas desakan sesetengah pihak yang mahu negara tunduk kepada barat yang kononnya meletakkan hak asasi manusia sebagai asas segala perundangan dan hal dalaman negara. Yang anehnya menteri luar juga menampakkan kejahilan beliau terhadap perundangan negara. Saya sangat simpati dengan Tun yang terpaksa berhadapan dengan barisan menteri yang separa masak. Seolah-olah semuanya mahu dibebankan kepada Tun. 
Pertembungan dua gergasi pemimpin Tun dan DSAI juga amat membosankan. Apa tidaknya sejak 1999 sehinggalah ke hari ini isu pertembungan dua individu ini menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Di mana saja DSAI pergi beliau sentiasa ditanya isu ini dan begitu jugalah Tun sehingga kadang-kadang saya lihat mereka berdua sudah jemu memberikan jawapan yang sama setiap kali disoal. Mereka tidak boleh salahkan pemberita kerana rakyat sendiri kebingungan kenapa isu ini tidak pernah selesai dan kenapa kedua-duanya seolah-olah ada sesuatu yang berlaku yang tidak menampakkan perdamaian walaupun mereka melontarkan senyuman dihadapan ke mera. 
Pelbagai teori boleh kita baca di pelbagai tulisan samada dalam blog, twitter, Whattsapp, akhbar-akhbar, portal-portal utama mengenai 'drama' yang sedang berlaku antara dua insan ini. Bak kata pepatah Melayu; ”Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang”. Selagi isu ini tidak dapat dijelaskan secara tuntas kepada rakyat maka selagi itulah negara tidak akan stabil. Malah kalau kita imbau kembali sejak 20 tahun dahulu sehinggalah sekarang, pertelingkahan kedua-dua insan inilah yang telah mengkucar-kacirkan struktur masyarakat dan kerajaan. 
Sehingga hari ini rakyat masih tidak nampak di manakah penghujungnya pertelingkahan? Apakah akan ada Reformasi 2.0? Saya rasa rakyat tidak sanggup lagi untuk melihat negara mengalami suasana sebagaimana 20 tahun dahulu. Cukuplah kita ketinggalan dengan Korea, Jepun dan China yang dahulunya duduk sebaris pun dengan Malaysia, dan apa yang paling membimbangkan kita ialah kemungkinan akan ditinggalkan pula oleh Indonesia. 
Bagi menyelesaikan kemelut yang tidak berkesudahan ini saya mencadangkan untuk Tun MEMBUBARKAN PARLIMEN SEGERA. 
Bagi kepada rakyat sendiri untuk memilih pemimpin mereka. Kita tidak sanggup menunggu 12 bulan lagi untuk melihat ekonomi negara semakin menjunam, hubungan kaum semakin tegang, Islam dan orang Melayu semakin tersisih. Tun sendiri akui bahawa Tun tidak ada lagi kuasa ke atas kabinet kerana kurangnya dominasi Bersatu. Bagaimana Tun nak memimpin negara dalam keadaan Tun sendiri tidak mampu menangani sikap dan perangai para menteri. 
Jangan biarkan rakyat terus menderita dengan kerenah politik kepartian ini. Ia perlu ditamatkan segera! 
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

No comments:

Post a Comment